kalo ada yg perasan, aku ade letak link few blogs yg berkonsepkan perancangan kewangan.. few months back aku suke jugak ikuti perkembangan kewangan ni.. dan serba sedikit aplikasikannye dlm kehidupan aku.. so ni aku dpt dr salah 1 link tu tp lupe nak salin link dia.. kalo tak, blh bg kredit kan...
sekadar 1 perkongsian ilmu berkenaan perancangan kewangan mengikut lunas lunas Islam.. ^__^
Dalam Islam mengurus dan membelanjakan harta adalah antara amanah Allah. Ia adalah satu keperluan yang bertujuan mencapai kehidupan yang diberkati. Perspektif yang tepat terhadap harta akan memastikan seseorang itu mencapai bahagia di dunia dan di akhirat menerusi hartanya.
Harta mempunyai kedudukan yang sangat mulia di sisi Islam. Islam menggalakkan umatnya memiliki, menghasil dan menggunakan harta dengan baik dan bijaksana.
Dari kaca mata Islam, harta adalah alat untuk menjamin keselesaan hidup manusia di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Ia juga merupakan wasilah untuk mencapai takwa. Allah juga menganugerahkan harta kepada manusia untuk menguji manusia itu sama ada bersyukur atau sebaliknya sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah dalam surah al-Munafiqun ayat 9.
Di samping mengajar manusia agar mempunyai perspektif yang jelas terhadap harta, Islam juga mengajar manusia agar mempunyai pandangan yang betul terhadap kehidupan. Hal ini penting bagi memastikan kehidupan mereka bermatlamat dan arah tuju yang jelas.
Islam juga menyeru agar menjadikan kehidupan ini dapat memberi manfaat kepada orang lain sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu adalah yang paling banyak memberi manfaat”.
Di dalam ajaran Islam, dunia adalah tempat sementara yang hanya sebagai jambatan untuk ke akhirat, dunia sebagai tempat bercucuk tanam dan akhiratlah tempat untuk menuainya. Walaupun dunia bersifat sementara, Islam dengan pelbagai kaedah dan pendekatan mengajar umat manusia supaya mempunyai status sosial dan ekonomi yang baik.
Oleh itu, Islam memerintahkan supaya harta dan kehidupan diuruskan dengan baik dan bijaksana. Jika sebaliknya ia akan menjadi faktor keruntuhan manusia dan kemurkaan Allah seperti dalam surah Saba’ ayat 15 – 16 dan surah al-Nisaa’ ayat 10 dan 161.
Secara umumnya ada lima aspek atau elemen utama pengurusan harta secara Islam.
Pertama, Penghasilan Harta (Wealth Creation). Sebagai seorang Muslim yang sejati, Islam menggalakkan umatnya mencari harta dan tidak hanya pasrah pada qada’ dan qadar seperti di dalam surah al-Juma’ah ayat 10.
Kedua, Pengumpulan Harta (Wealth Accumulation) atau dengan erti yang lain bermaksud pengembangan harta. Adalah tidak wajar jika harta yang kita ada disimpan begitu saja tanpa mengembangkannya. Pengembangan harta boleh dilakukan melalui simpanan dan pelaburan di institusi kewangan.
Malah Islam menggalakkan umatnya untuk membuat simpanan serta melaburkannya sebagaimana dalam surah Yussuf ayat 47-48.
Ketiga, Perlindungan Harta (Wealth Protection). Setiap manusia harus mempunyai matlamat dalam kehidupan dan pasti salah satu daripadanya ialah untuk dapat kehidupan yang selesa dan terjamin dari segi kewangan sepanjang hidup. Sebagai jaminan hidup di dunia ini selain mempunyai simpanan dan harta yang mencukupi, diri kita dan harta kita juga harus dijaga daripada sebarang musibah dan perkara-perkara yang tidak diingini.
Keempat, Pengagihan Harta (Wealth Distribution). Islam memperuntukan beberapa cara atau kaedah untuk pengagihan harta sebelum atau selepas mati. Antara instrumen perancangan harta adalah wakaf, wasiat, hibah dan sebagainya.
Kelima, Penyucian Harta (Wealth Cleansing). Sebagai seorang Muslim kita tidak sewenang-wenang membelanjakan atau mempergunakan mengikut kehendak dan hawa nafsu. Ini kerana setiap harta ada hak-hak yang tertentu untuk dibahagikan seperti berzakat dan amal jariah kita seperti sedekah. Ini terbukti dalam surah al-Baqarah ayat 195.
Pengurusan kewangan yang bijak itu adalah yang dapat mengimbangi perbelanjaan dan pengurusan hutang, pelaburan yang mengikut syariah dan pendapatan yang mendapat keberkatan. Perlu diingatkan bahawa merancang dan mengurus ini merupakan sunnah. Secara lebih mendalam, perancangan kewangan itu merujuk kepada ‘Perancang Kewangan’ sebagai “seseorang yang membuat analisis kedudukan kewangan individu lain dan mencadangkan perancangan pelan kewangan agar individu berkenaan mencapai matlamat dan objektif kewangannya.”
Secara ringkas, perancangan kewangan Islam itu ialah “satu proses di mana matlamat kewangan keseluruhan individu digunakan untuk membangun dan melaksanakan pelan yang holistik untuk mencapai matlamatnya yang mematuhi syariah dan akhirnya mendapat keberkatan daripada Allah” (Mahadzir Ahmad, majalah VISI, Bilangan 95)
Perancangan kewangan yang didasarkan kepada Islam matlamat akhirnya menjadikan aspek kewangan sebagai satu wasilah mencapai hasanah di dunia dan di akhirat. Justeru, untuk memastikan matlamat ini dapat dicapai maka pelan perancangan perlu mengambil kira perbelanjaan untuk kemaslahatan sendiri seperti keperluan jasmani dan rohani, perbelanjaan untuk kemaslahatan orang lain seperti nafkah, sedekah dan juga perbelanjaan untuk kemaslahatan umum seperti membina masjid, hospital dan sebagainya. Secara yang lebih sistematik perancangan kewangan dari perspektif Islam perlu mengambil kira komponen-komponen berikut; pengurusan kredit dan aliran tunai, pengurusan risiko dan perancangan takaful, perancangan pelaburan Islam, perancangan zakat dan cukai , perancangan persaraan dan perancangan harta pusaka dan wakaf.
Secara umumnya, ada dua aspek utama yang dititikberatkan oleh Islam dalam hal-hal yang bersangkutan dengan pengurusan harta, iaitu
bagaimana harta itu diperoleh. Ia mestilah menerusi kaedah pemilikan yang sah dan jual beli, pelaburan secara Islam, hadiah dan sebagainya.
Aspek kedua adalah
bagaimana harta itu dibelanjakan, sama ada untuk kebaikan ataupun untuk perkara-perkara yang dilarang Allah. Perkara ini dapat dilihat menerusi sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak akan berganjak kedua-dua kaki anak adam pada hari kiamat sehingga ditanya tentang umurnya pada apa ia dihabiskan, tentang usia mudanya pada apa digunakan dan tentang hartanya dari mana ia diperoleh dan bagaimana ia dibelanjakan dan tentang ilmunya pada apa ia diamalkan?”
Oleh itu, aspek utama yang perlu diambil kira di dalam perancangan kewangan Islam adalah memperoleh keberkatan. Harta yang melimpah ruah tidak membawa apa-apa erti jika tidak ada padanya keberkatan, malah harta boleh menjadi fitnah, boleh menjadikan seseorang itu sentiasa berasa tidak cukup sehingga sanggup melakukan apa sahaja termasuklah rasuah, penyelewengan dan sebagainya. Sebaliknya, harta yang berkat walaupun sedikit akan membawa ketenangan dan memberikan kesan yang baik dalam segenap kehidupan.
Keberkatan bermaksud mendapat restu, keredaan atau rahmat dari Allah SWT. Bagi mendapat keberkatan dan rahmat tersebut, sewajarnya kita mematuhi serta mentaati setiap perintah Allah.
Namun keberkatan boleh hilang jika melakukan perkara yang menyalahi apa yang digariskan oleh Allah SWT seperti terlibat dengan riba dan melakukan dosa serta mengabaikan solat.
Kesimpulannya, untuk menikmati kehidupan yang selesa dan bahagia kita perlulah mempunyai perancangan kewangan yang sempurna.