Rahsia kepada usia panjang dan bahagia adalah
kehidupan yang seimbang.
Terdapat empat perkara yang utama dan perlu diberikan
perhatian jika mahu hidup lebih lama dan bahagia.
Fikir sebelum makan
Ada orang kata makanan sayang mahu dibuang
sebab itu adalah rezeki. Betul, tapi mereka lupa kesihatan tubuh badan juga
adalah satu rezeki. Kalau sudah tahu tidak mahu membazir, usah ambil makanan
terlalu banyak. Kalau diberikan oleh orang kepada kita, agih-agihkanlah pula
kepada orang lain agar tidak membazir. Fikirkan juga sama ada apa yang dimakan
itu berkhasiat atau tidak. Budaya terlalu banyak makan makanan yang berlemak,
berminyak, bersantan dan bergula hanya memudaratkan kesihatan sendiri.
Lakukan senaman secara rutin
Seharian bekerja memang meletihkan. Namun
penat bekerja yang tidak mengeluarkan peluh tidak sama dengan penat bersenam
yang mengeluarkan peluh. Senaman yang dilakukan secara rutin memastikan badan
dalam keadaan baik sehingga ke usia tua. Kalau sudah tidak larat untuk
bersukan, cukuplah dengan berlari-lari anak. Kalau berlari-lari anak juga sudah
tidak mampu maka usahakanlah untuk berjalan laju beberapa kilometer
sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Sedikit senaman yang dilakukan secara konsisten
boleh mencegah tubuh badan daripada pelbagai masalah penyakit kesan daripada
lebihan kalori dan kolestrol.
Senaman yang berterusan juga menguatkan
otot-otot serta sendi dan ini penting dalam proses pembakaran lemak. Mereka
yang mengalami masalah berat badan biasanya malas bersenam. Sebaliknya mereka
menjadi kuat makan dan kuat tidur. Gejala ini memburukkan lagi keadaan hingga
membawa kepada pelbagai masalah penyakit serta keyakinan diri yang rendah.
Sentiasa positif
Ada ketikanya berfikiran positif itu tidak
menyelesaikan masalah yang ada, tetapi tanggapan ini mengubah cara kita melihat
masalah itu dan ini secara tidak langsung mengurangkan tekanan emosi pada diri.
Malah berfikiran positif juga ada ketikanya membolehkan kita memecah kebuntuan
terhadap sesuatu masalah yang selama ini terasa begitu rumit. Apa yang
menariknya, berfikiran positif mampu mendorong orang yang positif kepada kita
untuk membantu menyelesaikan masalah. Mereka yang positif percaya setiap yang
berlaku ada sebab-sebabnya dan mereka belajar sesuatu daripadanya. Dari segi
hubungan sosial, mereka yang positif sentiasa bersangka baik, berusaha
memperbaiki hubungan, berlapang dada dan suka memaafkan orang lain.
Menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah
Mereka yang mencari bahagia, menyerahkan
sepenuh jiwa raganya kepada Allah. Hidupnya untuk beribadah kepada Allah. Apa
juga yang dilakukan diniatkan kerana Allah. Mereka ini menjaga ibadah wajib dan
menambah ibadah sunat. Mereka sentiasa mencari ruang untuk membuat kebajikan,
pemurah, suka menolong orang dan hatinya sentiasa mengingati Allah dalam apa
juga keadaan dan perbuatan. Mereka percaya tidak ada satu pun musibah yang
boleh berlaku melainkan dengan izin Allah. Tahap keyakinan dan tawakalnya
terhadap qada' dan qadar Allah cukup tinggi. Hidupnya tidak dalam keluh kesah,
apa lagi merintih atau merungut. Sebaliknya hatinya dididik untuk sentiasa reda
dan syukur dengan apa yang diperolehi setelah segalanya diusahakan dengan baik
dan bersungguh-sungguh. Hidup mereka berpaksikan akidah yang mantap, melakukan
apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah
Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121209/ke_03/Petua-Bpanjang-usiaB#ixzz2Ez0Z80Jz
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan