Sabtu, Januari 19, 2013

worth to read : apa yg suami-isteri perlu tahu tentang NAFKAH


artikel ini dicedok dari sini dan aku susun balik bahasa asalnya yg sangat berstruktur kepada bahasa yg sedikit santai untuk memudahkan korang faham hehe happy reading everyone!! ^__^
 
Takrif nafkah, ia adalah suatu bahagian daripada hartanya yg halal yang dibelanjakan kepada orang-orang yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

Adapun nafkah, ia terbahagi kepada 3 bahagian. Iaitu i) kepada isteri, ii) kepada anak dan iii) kepada keturunan.
Nafkah kepada isteri, mestilah isteri yang sah atau isteri dalam ‘Iddah raj’i atau ‘Iddah yang boleh dirujuk kembali, ertinya ialah ‘Iddah dari talak satu atau dari talak dua. Tetapi ‘Iddah talak
tiga tidak berhak diberi nafkah kerana ia adalah talak yang tidak boleh dirujuk kembali.

Nafkah yang diberi kepada anak, mestilah bagi anak yang sah. Anak yang di luar nikah atau anak zina, tidak wajib diberi nafkah. Takrif wajib nafkah kepada anak juga ialah anak yang belum akil baligh. Bagi anak yang sudah akil baligh, tidak wajib lagi bagi ayah untuk memberi nafkah kecuali anak itu tidak boleh mencari nafkahnya sendiri. Katalah seorang anak itu akil baligh ketika umurnya 15 tahun sedangkan masa itu dia masih belajar di sekolah. Ertinya, anak itu belum berupaya lagi mencari rezeki. Makna, ayahnya wajib memberi nafkah kepada anaknya.

Nafkah keturunan ialah contohnya anak memberi nafkah kepada ibu bapanya. Syaratnya mestilah ibu bapa itu tadi adalah terlalu susah hingga tidak mampu menyara hidupnya. Ibu bapa yang sudah tidak mampu mencari nafkahnya sendiri, adalah jatuh hukum wajib bagi anak-anaknya memberi ibu bapa nafkah. Ertinya, seorang anak yang memberi belanja hidup kepada orang tuanya yg tidak mampu mencari wang bukan dibuat suka-suka hati atau dipanggil berbaik hati. Ia adalah satu tangggungjawab yang wajib.

Seorang suami perlulah mengetahui syarat-syarat yang wajib dan berhak diberi nafkah kepada isteri, Syarat i) isteri yang taat kepada suami. Taat dalam ertikata menyerah diri bulat-bulat kepada suami samada jiwa raganya, tenaga dan akal fikirannya. Begitu juga, menyerah diri kepada suami bererti menyerah zahir dan batinnya pada suami dengan syarat suaminya itu tidak menyuruhnya melakukan perkara yg dilarang Allah dan Rasul. Isteri yang demikian saja yang wajib diberi nafkah. Isteri yang tidak taat 100% kepada suami atau sentiasa berbalah dengan suami, tidak wajib diberi nafkah.

Syarat ii) isteri yang tidak keluar rumah kecuali dengan izin suami. Seorang isteri itu memang dilarang oleh syariat keluar rumah tanpa izin dari suami. Hari ini begitu ramai sekali isteri yang tidak sedar perintah ini. Mereka bebas keluar rumah sesuka hati padahal yang dia lakukan itu adalah satu dosa.Ada setengahnya sampai berani membentak suami kalau dia ditanya tentang kepergiannya itu.

Isteri yang keluar tanpa keizinan suami bererti dia tidak taat dan melanggar syariat. Ketaatan pada suami bererti taat di dalam agama. Apa saja yang dilarang dan diharamkan oleh Allah dan Rasul dalam rumahtangga dan di dalam perhubungan suami isteri, isteri hendaklah taat.

Gugur nafkah bagi isteri-isteri yang tidak taat. Cuma gugur nafkah seorang isteri yang tidak taat itu sabitnya adalah dengan syarat-syarat yang tertentu. Ertinya, ada beberapa syarat yang mensabitkan gugurnya nafkah isteri apabila dia tidak berlaku taat.

Adapun suami-suami yang wajib memberi nafkah kepada isteri juga terdiri dari tiga golongan. I) suami yang kaya, ii) suami yang sederhana dan iii) suami yang miskin atau papa. Ketiga-tiga golongan ini ada peringkat nafkah masing-masing terhadap isteri.

Seorang suami yang kaya lain ukuran nafkahnya dan suami yang sederhana lain ukuran nafkahnya, dan seorang suami yang miskin papa lain pula ukuran nafkahnya.

Kewajipan nafkah bagi suami yang kaya menurut yang diterangkan dalam pengertian syariat ialah, memiliki harta yang boleh dibelanjakan sehingga umur lazimnya dia boleh hidup dan kalau sekiranya dia mati, masih ada baki harta itu. Itulah yang dikatakan kaya.

.

Bagi suami yg kaya, ada kaedah-kaedah nafkah yang mesti diberikannya kepada isterinya. i) suami mesti menyediakan sebuah rumah untuk anak isterinya, sama seperti rumah isterinya semasa dia tinggal bersama ibu bapanya dahulu. Ertinya, nafkah orang kaya terhadap isterinya adalah berat. Kalau suami tidak menyediakannya, belumlah selesai tanggungjawab nafkahnya terhadap isterinya.

ii) makan dan minum yang mesti disediakan untuk isterinya pula, mestilah jenis makan dan minum yang pernah isterinya terima semasa dia hidup bersama dengan ibu bapanya dahulu. Katalah semasa dia hidup bersama ibu dan bapanya dahulu, dia makan nasi yang berasnya bernilai beras terbaik. Maka, suami mestilah menyediakan makan untuk isterinya dengan beras yang terbaik juga. Begitu juga dengan lauk pauknya yang mana kalau sekiranya semasa berada bersama ayah dan ibunya dahulu dia makan lauk yang baik-baik, maka suami mestilah memberi isterinya lauk pauk yang baik-baik juga, seperti daging, ayam dan sebagainya.

iii) begitu juga bagi lain-lain peralatan rumah serta dapur, semuanya mesti disediakan mengikut keadaan yang baik-baik seperti dapur gas, alat-alat perabot dan lain-lainnya, mesti juga dari barang yang baik-baik.

iv) sekiranya dahulunya isterinya biasa dibantu oleh orang-orang gaji, maka hendaklah suami mengadakan orang gaji untuk isterinya.

Dan begitulah seterusnya dalam hal-hal yang lain di dalam rumahtangga suami itu, setiap apa yang pernah ada pada isterinya dahulu, mestilah disediakan untuk isterinya.

Tentulah berat tanggungjawab bagi seorang suami yang kaya apabila diukur dan ditinjau di sudut fekah. Apabila kita tinjau di sudut tasawuf iaitu di sudut hendak mendapatkan kewarakan dalam beramal ibadah, perkara-perkara yang demikian bergantung kepada keredhaan isteri. Seandainya isteri redha, tidak mahu segala kesenangan dan kenikmatan dunia kerana takut akan hisabnya terlalu berat di akhirat nanti, isteri boleh menolak semua itu dan memilih kehidupan zuhud.

Tetapi harus pula seorang suami itu ingat, suami tidak boleh memaksa isterinya yg biasa hidup senang itu untuk zuhud. Tanggungjawabnya ialah untuk menyediakan tempat tinggal, makan minum dan pakaian untuk isterinya. Ini adalah tuntutan wajib ke atasnya.

Daripada pengertian tentang memberi nafkah kepada isteri bagi suami-suami yang termasuk dalam golongan kaya, dapatlah dijadikan ukuran tentang bagaimana pula tanggungjawab suami-suami yang termasuk dalam golongan sederhana dan golongan miskin. Perlulah diingat bahawa dalam persoalan memberi nafkah kepada isteri ini, Rasulullah saw pernah bersabda:

“Takutlah kamu kepada Allah dalam urusan perempuan, sesungguhnya kamu mengambil mereka dengan amanah Allah dan telah dihalalkan bagi kamu kemaluan mereka dengan kalimat Allah dan diwajibkan atas kamu memberi nafkah dan pakaian kepada mereka dengan cara yang
sebaik-baiknya.”


Kemudian Allah swt juga ada berfirman yang maksudnya:

“Hak (nafkah) isteri yang diterimanya dari suaminya seimbang dengan kewajipan terhadap suaminya itu dengan baik.”

Dan di dalam ayat yang lain, Allah berfirman yang maksudnya:

“Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuan dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan (hati) mereka.”

Daripada pertanyaan-pertanyaan di atas jelaslah kepada kita ukuran pemberian nafkah bagi seorang suami itu terhadap isterinya. Kalau suami-suami yang termasuk dalam katagori yang kaya tadi, telah digariskan kaedah-kaedah nafkah yang wajib diberikannya kepada isterinya, maka bagi suami-suami yang sederhana dan miskin, bolehlah kita gariskan tentang banyak mana nafkah yang wajib suami berikan kepada isterinya. Iaitu berdasarkan daripada hadis Rasulullah saw dan dari pertanyaan Allah di atas, suami-suami wajib memberi nafkah kepada isteri-isterinya mengikut kemampuannya serta menurut keadaan dan tempat.

Begitulah tuntutan nafkah zahir kepada para isteri yang wajib bagi suami-suami melaksanakannya. Seandainya para isteri bagi suami yang miskin atau sederhana meminta lebih dari yang mampu disediakan oleh suami, sabda Nabi saw.:

“Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada seorang isteri yang tidak bersyukur kepada suaminya.”

Mengenai nafkah pasangan suami isteri yang sama-sama bekerja yg mencapurkan hartanya, persoalan ini adalah amat berat kerana ia melibatkan harta pusaka yang tidak dapat ditentukan siapa punya. Seandainya, dalam soal kedua-dua mencari nafkah ini ditakdirkan suami meninggal atau ditakdirkan isteri meninggal, bagaimana pula status harta yang ditinggalkan?

Dalam hal ini, jika meninggal salah seorang di antara keduanya, harta yang tinggal tidak boleh dipusakakan kerana harta yang tinggal itu tidak tentu siapa yang punya kerana sudah bercampur. Syariat hanya menganggap hasil pencarian suami sahaja yang dijadikan harta pusaka untuk anak isteri tetapi isteri tidak boleh mencari nafkah untuk menjadikannya harta. Setiap wanita hanya boleh memiliki harta melalui peninggalan ayah ibu atau pun adik beradik atau peninggalan suami.

Sekiranya pasangan itu bekerja untuk menambahkan pendapatan keluarga, satu pejanjian antara isteri dan suami mesti ada untuk mengikrarkan harta sama sepencarian itu. Di antara perjanjian yang boleh dibuat ialah seperti misalnya, suami mengatakan kepada isteri bahawa seluruh harta yang mereka cari bersama itu adalah hak suami, walaupun bahagian isteri yang mencari ada di dalamnya. Sekiranya suami meninggal, seluruh yang ada pada harta itu, adalah menjadi harta pusaka yang boleh dibahagi-bahagiakan. Begitu juga, suami boleh mengikrarkan kepada isteri tentang harta yang sama-sama dicari itu dengan mengatakan bahawa semuanya adalah hak isterinya. Sekiranya suami meninggal, seluruh harta yang tinggal itu adalah hak isterinya.

Boleh juga jika suami isteri yang sama-sama mencari nafkah mengasingkan harta masing-masing. Misalnya, kalau isteri membeli peralatan rumah hasil pencariannya, isteri boleh menyatakan kepada suaminya bahawa pinggan mangkuk itu adalah hartanya. Dalam soal ini mesti ada perjanjian bertulis, supaya ia tidak menjadi perbalahan apabila meninggal salah seorang antara keduanya nanti. Dan yang selebih baiknya ialah dengan memanggil ahli-ahli keluarga waris untuk menjadi saksi. Ini adalah amat mustahak sekali kerana ia melibatkan soal faraid atau pembahagian harta.

Soal suami isteri yang sama-sama bekerja mencari nafkah sudah menjadi perkara biasa hari ini. Kalau sama-sama tidak jelas tentang harta dan faraid harta, takut-takut nanti seluruh isi keluarga memakan harta yang haram. Sedangkan isteri yang pergi bekerja itu pun mesti berhati-hati kerana takut-takut isteri membawa balik harta yang haram. Hal ini mudah sangat berlaku. Andainya isteri pergi bekerja itu tanpa lafaz izin dari suami atau tidak menutup aurat, bermakna isteri keluar rumah secara haram. Jadi, suami kenalah melafazkan izin setiap hari kepada isteri serta mensyaratkan kepada isteri setiap kali pergi bekerja hendaklah menutup aurat. Kemudian harta yang menjadi harta sepencarian itu pula hendaklah dinyatakan oleh isteri apakah boleh ia dimakan bersama. Kalau tidak, takut-takut nanti suami memakan harta haram.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers